Drop Down MenusCSS Drop Down MenuPure CSS Dropdown Menu
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

4 Apr 2016

Tips Penyusuan Susu Ibu

Assalamualaikum..

Menyusukan bayi dengan susu badan adalah perkara yang sangat dituntut daripada ibu. Walaupun adakala para ibu melalui detik sukar untuk menyusukan disebabkan pelbagai halangan, namun cubalah sedaya upaya supaya si kecil dapat menyusu badan secukupnya.

Pakar kesihatan memang mengakui bahawa cara paling sihat memberi makan kepada bayi baru lahir ialah dengan menyusukan bayi. Bayi yang diberikan susu badan sejak lahir akan kurang jatuh sakit dalam tahun pertamanya. Susu ibu juga dapat mengekalkan kesihatan bayi dalam masa jangka panjang.

Para ibu juga perlu tahu bahawa menyusukan bayi dapat mengurangkan risiko ibu menghadapi kanser payu dara sebelum menopaus. Malah turut membantu mengurangkan risiko dari kanser ovari dan osteoporosis.

Tempat Selesa
Sesi penyusuan selalunya mengambil masadari tujuh hingga 40minit. Justeru, pilihlah tempat selesa untuk anda dan bayi, misalnya tempat yang tidak mudah diganggu, senyap, bersih dan tidak membosankan.

Posisi Betul
Pegang bayi anda dalam posisi yang betul. Anda tidak sepatutnya merasa sakit pada bahagian lengan dan belakang tubuh. Boleh letak kusyen atau bantal untuk menyokong tubuh anda. Anda dan bayi hendaklah selesa barulah sesi penyusuan akan berlangsung dengan lancar.

Halangan Penyusuan
Adakala bayi tidak dapat menyusu dengan betul kerana keadaan payudara. Misalnya puting yang agak pendek, air susu sedikit atau rasa sakit pada payudara ibu. Payudara boleh jadi sakit apabila ia membengkakatau putingnya melecet.

Selain itu, memastikan bayi menghisap dengan betul. Bayi sepatutnya menghisap mulut penuh dan bukannya pada hujung puting sahaja. Pelajari teknik penyusuan dengan teliti supaya anda dapat menyusukan bayi dengan betul.

Pakaian Khas
Terdapat pakaian khas untuk ibu yang menyusukan bayi. Keluarkan sedikit ajet untuk anda memakai coli khas. Ianya dapat memudahkan anda menyusukan bayi apatah lagi jika di tempat awam.

Mengepam Susu
Khas untuk ibu bekerja, proses mengepam susu sangat penting dilakukan. Pam susu ikut tempoh masa supaya tidak akan menyebabkan payu dara terlalu penuh dengan susu. Setiap kali payu dara dikosongkan, susu akan dihasilkan semula dan anda akan memperoleh susu baru. Beli produk tempat menyimpan susu supaya susu tahan lama sebelum disimpan dalam peti sejuk di rumah anda.


3 Feb 2016

Bersabarlah Duhai Hati

Assalamualaikum..
Bersabarlah wahai hati. Sesungguhnya rezeki Allah itu luas. Pelbagai cabang kan Allah beri. Yang penting berusahalah, teruskan berusaha moga-moga Allah sentiasa mendengarnya. Jangan pernah mengalah, insyaAllah pasti ada.

Keep fighting!

12 Jan 2016

Penjagaan Bayi Bermasalah Kulit Sensitif (Try & Error)

Penjagaan Bayi Bermasalah Kulit Sensitif (Try & Error) |


Assalamualaikum..

Seperti yang sedia maklum, baby kecilku Sarah memang memiliki kulit yang sangat sensitif, Allah je yang tau susahnya nak menjaga bayi yang macamni. Merah sana sini, berbijik-bijik bertompok tompok merah kat pipi, kat leher la, kata celah-celah pelipat tangan, peha, bawah dagu. Kesian mama tengok. Sudahla Sarah ni jenis cepat berpeluh, lagi la bertambah miang dan gatal kulit sikecik tu. Sian anak mama. Boleh baca kat SINI

Bila keadaan macamni, banyak benda kita kena ambil perhatian. Banyak perkara kita kena jaga. Dari segi susu (memula suspect kurap susu. Pastu lelama makin hebat merah-merah dia. Dah macam eczema pulak), pakaian, mandian, alahan (mungkin apa yang mama makan tu sikit sebanyak effect jugak kat baby kan),

Usia 3-6bulan merupakan waktu paling mencabar untuk kulit Sarah. Merah macam kena panggang je. Pipi berbiji-biji. Allahu, kesiannya anak mama!

Cara menangani Masalah Bayi Berkulit Sensitif 


SUSU.
Sarah masih lagi menyusu badan sepenuhnya. Dari segi susu orang kata kalau susu badan sepenuhnya tak perlu risau tentang Kurap Susu. Tak jugak ye! Sebab pengalaman kami, keyakinan mama semuanya berpunca dari lebihan/pancutan kesan susu yang mama tak bersihkan sepenuhnya selepas menyusu dulu. Dari awal lagi masa dalam pantang lagi waktu tu. Maafkan mama ye Sarah!

Maklumlah takde pengalaman, tak tahu pun tentang kurap-kurap susu ni. Jadinya, benda pertama yang perlu ibu-ibu kat luar sana, lepas menyusu pastikan lap mulut, pipi, senang cerita muka baby tu lap dengan kain lembap yang bersih ye. Jangan dilupa leher bawah dagu tu juga. Tak kira la susu badan ke, susu formula ke.

(Masalah yang ketara pasal susu dan kurap susu ni sebab Sarah sedari awal lagi jenis yang minum sikit-sikit. Isap 2,3x lepas, toleh kiri kanan, pastu baru sambung isap balik. Mana la susu tu tak terpancut kan, habis muka dia kadang-kadang tu. Dan kalau nak tau, perangai menyusu dia tu sampai sekarang tak berubah tau. Geram mama!)

PAKAIAN.
Bab baju seluar napkin memang kena ambil perhatian. Awal-awal ni sebaiknya basuh tangan, asingkan dengan pakaian harian kita yang lain. Untuk baby kulit sensitif ni, penjagaan extra sikit la. Rendam dengan air panas mendidih yang biasanya mama lakukan untuk pakaian Sarah. Detergent pun bukan boleh sebarang. Yang ni mommy-mommy kena pandai pilih la kan. Kita bukan setakat nak wangi-wangi je baju anak tu, nak bebas dari bakteria untuk perlindungan kulit yang sempurna jugak. Baju Sarah mama just guna Pureen punya detergent yang ABC tu.  

SABUN MANDIAN.
Dari segi mandian, haa yang ni paling ketara try & error dia. Sabun mandian ni antara penyumbang terbesar jugak yang boleh effect kulit baby. Sarah start diperkenalkan dengan sabun-sabun ni bermula 4bulan keatas. Masa tu memang pakai Pureen (maklumlah semua barang-barang Sarah ditaja oleh Pureen tapi dibayar sendiri oleh papa Sarah ye. Hahaha). Sarah pakai shower yogurt kaler purple tu (head to teo senang, tak yah nak banyak-banyak shower bath kan).

Rupanya mandian-mandian wangi macamni tak sesuai untuk bayi yang bermasalah kulit sensitif ni. Allahuakbar, dah nak habis botol baru la mama sedar dan tau tentang perkara ni. Patutlah leher Sarah tak kurang-kurang merah dia. Mama pulak sedap je masa mandi tu gosok-gosok leher Sarah dengan shower bath tu tiap kali mandi (yelah, nak anak yang selalu berpeluh tu wangi kan). 

Bila google, banyaklah kesalahan kesilapan yang mama dah buat. Bayi kulit sensitif tak boleh guna mandian yang wangi-wangi sangat, tak leh yang berbuih-buih, tak digalakkan mandi air suam sangat. Nasib baik la dulu beli Pureen baby bath tu yang travel pack je jadi takde la rasa membazir sangat kan.

Bermula la episod baru beli mandian yang memang khusus untuk baby bermasalah kulit sensitif ni. Part sabun mandian ni yang paling ketara kena try & error sebab setiap anak kesan penerimaan kulitnya lain-lain kan. Ada yang sesuai, ada yang tak sesuai. 
Contoh: Seba Med, Buds, Tropika, Eubos, Cetaphil dan lain-lain lagi yang banyak kat pasaran tu. Krim-krim pelembap/lotion juga jangan dilupa ya. Penting untuk bayi yang memang berkulit sensitif ni. Tentang krim boleh jugak refer SINI mungkin boleh membantu sedikit sebanyak

PEMAKANAN.
Mommy-mommy yang menyusu badan kena ambil berat tentang hal pemakanan ni. Kena peka apa yang kita makan, kena pastikan apa yang kita makan tu tak mendatangkan masalah pada anak. Kita sedap je makan, anak pulak yang tanggung kesan allergic tu. 

Ni serba sedikit yang boleh mama Sarah ceritakan pengalaman mengendalikan Sarah yang kulit sensitif ni. Kalau ada maklumat kat atas ni yang mungkin salah, kurang tepat mohon dibetulkan ye. Hanya bercerita berdasarkan pengalaman sendiri. Entri akan datang InsyaAllah akan cerita pulak bagaimana merah-merah/ ruam di pipi dan leher Sarah boleh 80% hilang (masih dalam proses pemulihan sepenuhnya).

*lama sangat2 entri ni terendam dalam draf. Dah berkurun nak publish baru ni tertekan publish pun. Sorry!

30 Sept 2015

Tips Pencegahan Penyakit Akibat Jerebu

Tips Pencegahan Penyakit Akibat Jerebu |

Assalamualaikum..

Jerebu mengundang bahaya kepada tubuh badan kita


Nasihat dibawah boleh diikuti bagi mencegah penyakit akibat jerebu :
  • Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk.
  • Mereka yang di dalam Kumpulan Berisiko Tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan.
  • Penutup hidung dan mulut (mask) hendaklah digunakan oleh semua pengguna motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau tempat-tempat yang berhabuk dan juga mereka yang dikenalpasti sebagai kumpulan berisiko tinggi.
  • Sejauh yang boleh, orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah.
  • Kurangkan aktiviti-aktiviti di luar rumah seperti sukan.
  • Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih.
  • Gunakan kemudahan hawa dingin (acond) sekiranya menaiki kenderaan anda.
  • Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak (sekurang-kurangnya 8 gelas sehari)
  • sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya, mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan keluar dari kawasan tersebut.

8 Oct 2014

Penyakit Anemia Semasa Mengandung

Penyakit Anaemia Semasa Mengandung |

Assalamualaikum..
Anaemia atau Anemia merupakan keadaan dimana berlakunya kekurangan hemoglobin di dalam sel darah merah. Hemoglobin merupakan pengangkut oksigen dan zat makanan ke seluruh badan. Oleh itu apabila ibu mengandung mengalami anaemia, tisu seluruh badan menjadi hipoksia (kurang kandungan oksigen) dan kurang tenaga.
Bagaimana Anemia Dikesan:
Anemia dikesan melalui ujian darah iaitu apabila paras hemoglobin (Hb) dalam sel darah merah kurang daripada 11gm/dl.
Risiko Anemia terhadap ibu dan bayi :
Ibu    - Keguguran, 
         - Tumpah darah semasa dan selepas bersalin, 
         - Kematian.
Bayi - Tumbesaran dan perkembangan bayi terbantut.
         - Kelahiran bayi kurang berat badan.
         - Kelahiran tidak cukup blan
         - Bayi meninggal dalam kandungan.
Cara Untuk Mengatasi Masalah Anemia Semasa Hamil :
1. Tambah darah degan Pil Hematinik.
    Hematinik terdiri daripada empat jenis pil iaitu :
         -Pil zat besi (ferrous fumarate)
         -Pil asid folik
         -Pil vitamin C
         -Pil vitamin B kompleks (B Co
Mengapa pil hematinik sangat penting..
-Pil hematinik sangat penting kerana kandungan zat besi, B kompleks dan asid folic diperlukan untuk pembentukan sel darah merah.
-Pil vitaminC membantu untuk meningkatkan penyerapan zat besi.
-Pil hematinik membantu pulih dengan cepat dan janin membesar dengan sihat. Ia tidak menyebabkan saiz bayi besar. Berat lahir bayiyang normal adalah di antara 2.5kg - 4.0kg.
-Makan pil hematinik bersama air kososng atau jus buah-buahan untuk penyerapan yang optimum.
-Elakkan makan pil hematinik dengan air kopi, teh, minuman berkola, minuman bercoklat dan susu. Minuman ini mengandungi bahanyang menghalang penyerapan zat besi.
*Sesetengah ibu mengalami kesan sampingan seperti sembelit, rasa loya dan pening. Walau bagaimanapun, kesan sampingan tersebut hanyalah sementara sahaja.
2. Tambah Darah dengan Makan Makanan Kaya Zat Besi.
   -Sumber makanan kaya zat besi yang baik adalah terdiri daripada sumber haiwan seperti daging,hati,ayam,limpa, kerang, ikan, sotong dan ikan bilis.
   -Sayur-sayuran hijau seperti pegaga, pucuk paku, kangkung, bayam dan kailan juga mengandungi zat besi. 
   -Untuk mengatasi masalah anaemia, kita perlulah makan sekurang-kurangnya satu jenis makanan dari sumber haiwan yang kaya zat besi setiap hari.
   -Sekiranya wanita mengandung dikalangan vegetarian, perlulah mengambil makanan daripada kombinasi beberapa jenis kekacang sepertikacang hijau, kacang soya dan kacang dhalbersama makanan dan minuman yang tinggi kandungan vitamin C. Disamping meningkatkan lagi pengambilan sayur-sayuran hijau, dia juga perlu makan pil hematinik mengikut arahan,
Tingkatkan Penyerapan Zat Besi Dengan 2 Cara :
1. Lebihkan makan makanan yang membantu meningkatkan penyerapan zatbesi di dalam hidangan seperti berikut :
   -Buah dan sayur yang kaya dengan vitamin C seperti jambu batu, limau, betik, mangga dan sayuran hijau seperti pegaga, sawi, puvuk ubi,bayam dan kangkung.
   -Minum hus buah-buahan.
   -Makan bersama pencecah buah-buahan seperti sambal mangga, tomato atau limau kasturi.
   -Gunakan perencah daripada sumber haiwan seperti ikan bilis, udang, isi ayam dan isi daging.
2. Kurangkan makan makanan mengandungi bahan penghalang penyerapan zat besi seperti kopi, teh, minuman berkola dan minuman bercoklat :
   -Jika ingin mengambil makanan atau minuman tersebut pastikan diambil sekurang-kurangnya 1 hingga 2 jam selepas waktu makan atau selepas makan pil hematinik.
   -Susu juga mengandungi bahan penghalang penyerapan zat besi. Ibu hamil perlu minum 2-3 gelas susu sehari untuk mendapatkan cukup kalsium, jadi minumlah susu segar atau susu tepung diantara waktu makan utama seperti semasa miunm pagi, minum petang dan malam.

6 Mar 2014

Rahsia Kecantikan Wanita Alaf Baru

Rahsia Kecantikan Wanita Alaf Baru |

Assalamualaikum..
Kehidupan pada hari ini memang tidak dapat lari daripada tekanan atau stress. Pelbagai perkara boleh mendatangkan stress seperti kerjaya, keluarga juga masalah kewangan. Perlu kita ketahui bahawa stress juga boleh mendatangkan pelbagai masalah kepada diri sendiri terutama masalah kulit dan emosi. 
Kalau bercakap bab kecantikan, wanita dan cantik sudah pasti takkan dapat dipisahkan. Umpama 'kami buddies takkan terpisah'. Kecantikan adalah begitu subjektif untuk diperkatakan. Pengertiannya amat luas kerana membabitkan zahir dan batin. Kecantikan adalah anugerah Allah kepada setiap wanita di dunia ini. Wajah yang cantik yang dikurniakan Allah beserta kehalusan budi pekerti menjadikan definasi cantik itu bertambah bermakna bagi setiap wanita. Cantik diluar dan dalam disulami dengan pemikiran positif dan minda yang sihat. Pastinya kita akan kekal cantik!

Kulit wajah mulus sememangnya menjadi dambaan wanita. Tetapi tidak semua wanita dikurniakan kulit cantik tanpa sebarang masalah. Ada kalangan wanita berhadapan dengan masalah kulit antaranya kulit sensitif, kusam dan sebagainya. Masalah?? Banyak pilihan, rahsia dan ruang untuk kekal cantik ni sebenarnya.. 


Pemakanan Sihat
- Pemilihan pemakanan yang sihat dan seimbang sebenarnya akan melengkapkan hari-hari kita. Cabaran besar masa kini adalah melibatkan pemakanan. Faktor kesihatan kita juga banyak bergantung kepada pemakanan yang diambil. Terlalu banyak sumber-sumber makanan di pasaran sana yang tidak membantu mengekalkan kesihatan badan kita. Juga Makan sekadar perlu, bukan main belasah ikut nafsu. Atau lebih baik dan selamat jom kita ikut sunnah Nabi 'makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang'.  Bila tubuh kekal sihat, cergas, minda cerdas tentu akan menzahirkan kecantikan yang ada. 

Senaman Asas Kesihatan
- Selain mengamalkan tabiat pemakanan sihat dan rehat secukupnya, senaman juga merupakan salah satu komponen penting dalam gaya hidup sihat untuk kekalkan kecantikan. Ia merupakan sejenis riadah yang boleh dilakukan tanpa mengira umur, jantina dan pekerjaan. Senaman melibatkan aktiviti formal dan fizikal seperti berjogging, berlari, bersukan, berjalan kaki, berbasikal, tarian dan sebagainya. Mereka yang aktif bersenam dengan konsisten mempunyai kadar kematian lebih rendah berbanding mereka yang tidak aktif melakukan aktiviti senaman. 

Senaman membantu seseorang itu hidup dengan lebih cergas dari aspek fizikal dan mental. Senaman merupakan aktiviti yang perlu dirancang, diulang-ulang dan dibentuk mengikut kehendak dan keupayaan individu. Senaman yang dirancang hendaklah menghapuskan faktor-faktor risiko seperti kegemukan, peningkatan kemak dalam darah atau membuang tabiat tidak sihat dalam diri. Dengan aktiviti begini pastilah hidup kita akan lebih sihat, terancang dan tentulah menghasilkan output yang baik iaitu kekal sihat dan cantik.

Penjagaan Kecantikan Tradisional dan Moden
- Mana satu pilihan anda untuk kekal cantik, tradisional atau moden? Memilih untuk berhias sendiri, jamu buatan sendiri, urutan badan sendiri ataupun memilih cara moden untuk ke Spa, Saloon dan sebagainya?? Jangan tinggal kedua-duanya. Tradisional mahupun moden, kedua-duanya pasti dapat menyerlahkan kecantikan wajah dan tubuh kita.

Sesekali manjakan diri dengan rawatan spa apa salahnya. Anjung Jelita Spa & Beauty Centre menawarkan servis terbaik kepada wanita-wanita diluar sana. Tidak perlu risau kerana Anjung Jelita Spa ini diinspirasi berkonsepkan tradisional dan moden. Keselesaan dan kepuasan pengguna memang sangat titik beratkan. 100peratus produk organik tanpa bahan pengawet. Pasti anda akan menikmati rasa tenang dan selesa dan sangat sesuai dengan moto 3R mereka iaitu "Relax, Revive & Rejuvenate" yang membuatkan anda melangkah keluar dengan senyuman dan kepuasan.. 

Nak tahu lebih lanjut tentang Anjung Jelita Spa & Beauty Centre lokasi, servis yang ditawarkan dan promo yang sedang berlangsung, jom singgah SINI. Boleh Like juga Facebook mereka di SINI nanti. 

Yang perlu kita ingat, kekal cantik perlulah seiring dengan kekal sihat tubuh badan. Jangan hanya nampak cantik pada zahirnya tapi tubuh kita, dalaman kita terus dimamah usia. Cantik, sihat, cergas, semuanya atas usaha kita. "Wanita, Kuasa, Penampilan dan Kecantikan -Serlahkan kekuatan dan keyakinanmu"

-Terima kasih kepada team Denaihati yang memberi ruang kepada semua untuk mengenali dan mendapatkan serivs terbaik dari Anjung Jelita Spa ini.

Moga-moga berpeluang untuk menjadi salah seorang yang bertuah di #SBB2014, #SBBYEOS214 nanti. Mungkin ni boleh jadi hadiah kahwin ke =)


6 Oct 2013

Cara Kekalkan Air Kolam Ikan Bersih

Assalamualaikum..

Penyelenggaraan kolam ikan penting supaya kebersihannya sentiasa terpelihara.

Penataan taman kurang lengkap tanpa adanya elemen landskap kejur. Seperti contoh pembiakan kolam ikan pada sudut taman menambahkan pesona visual yang dilihat. Tetapi, ramai yang tidak tahu cara penjagaan yang sesuai bagi memastikan air kolam ikan terus terpelihara kebersihannya.


Berikut beberapa panduan yang dapat dikongsi tentang penyelenggaraan kolam:
  • Bagi memastikan kolam kekal dengan penyelenggaraan minimum, apa kata tanam tanaman akuatik merangkumi anggaran ruang satu pertiga daripada keluasan kolam. Penanaman tanaman dalam kolam penting untuk mengawal keseimbangan kadar ammonia dan nitrat dalam air. 
  • Pastikan kolam anda mempunyai penapis untuk memastikan air tidak cepat keruh dan berbau yang boleh menyebabkan pertumbuhan kulat dan lumut. 
  • Penapis air perlu dicuci sebaik-baiknya seminggu sekali untuk memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan bersih.
  • Gunakan bahan pencuci dengan kadar pekatan sederhana jika anda mahu mencuci kolam. Keadah berkenaan dapat membantu mengurangkan kesan bahan pencuci yang dikhuatiri membunuh hidupan air.
  • Kesihatan tumbuhan dan ikan bergantung kepada berapa kerap anda membersih dan menyelenggara kolam, jadi buat satu jadual rutin pembersihan kolam secara berkala.
  • Tidak perlu risau dengan keadaan lumut dengan keadaan terkawal. Lumut yang menghijau menjadikan landskap nampak lebih hidup.

#info laman

26 Sept 2013

Penenang Jiwa

Assalamualaikum..

"Ingat! Sesungguhnya dalam jasad (manusia) ada segumpal darah. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ingat! Itulah hati."


Manusia hanya akan beroleh ketenangan apabila fitrah atau rohaninya terisi, subur dan sihat. Yang dimaksudkan dengan kerohanian yang subur dan sihat ialah persediaan dan keteguhan hatinya untuk mengalahkan musuh-musuh batin, iaitu syaitan dan hawa nafsu. Musuh batin ini sangat payah untuk ditumpaskan jika tidak mempunyai persediaan asas yang lengkap.

Suatu hal yang pasti bahawa pada setiap jiwa manusia terjadi pergelutan dan peperangan yang dasyat yang menentukan apakah dia akan tetap sebagai manusia atau akan menjadi binatang yang berbadan manusia. Itulah peperangan antara rayuan syaitan dan seruan agama, Antara kebatilan dan kebenaran.

Memang, sebuah nafas panjang ditarik dan dihembuskan. Bersama berjuta jeritan. Menanti suatu kepuasan. Dunia menawarkan kenikmatan. Kaki, hendak ke mana melangkah? Antara syaitan dan malaikat bergelut. Berebut menguasai diri. Tapi, hendak ikut siapa...?Demikianlah peperangan itu berlaku.

Kedua-dua belah pihak bertarung dalam kancah peperangan, iaitu hati. Jika iblis menangm manusia akan kehilangan kemanusiaan. Dan apabila agama yang menang, ia akan menjadi manusia yang luhur, arif dan bijaksana.

Setiap kemaksiatan yang dilakukan seseorang, ia bagaikan bintik-bintik hitam yang mengotori dan mengeraskan hatinya. Semakin ia berani melakukan maksiat, kedudukan iblis bertambah kuat. Dan.. Iblis mengibarkan benderanya. Maka ketika itulah hati akan menderitai penyakit. Suatu penyakit yang berbahaya namun tidak dapat dirasai. Penyakit yang sukar ditemukan doktornya. Penyakit yang akan menghantar seseorang ke Neraka!

~Mohon bantu diriku mencari ketenangan hati, dalam kekalutan mencari arah mana yang patut ditujui.. (Dalam proses membaca buku Penenang Jiwa ini)... InsyaAllah akan berkongsi hasil pembacaan. Terima kasih kerana membaca.


  "Ya Allah, berikanlah aku rezeki dua mata yang menangis kerana takut kepada Engkau sebelum air mata ini habis."

2 Sept 2013

Kelaparan Yang Menyakitkan

Assalamualaikum..

Kelaparan Yang Menyakitkan. Sesetengah orang merasa sangat lapar dan ianya menyakitkan iaitu perasaan kosong yang berterusan di dalam perut dan ia hanya akan dapat dilegakan dengan makan. Ini selalunya berlaku pada waktu malam, kebiasaannya selepas tidur.


Ini merupakan tanda-tanda ulser gastroduodenum. Ini berlaku disebabkan oleh jus gaster yang berlebihan di dalam perut yang mengganggu lapisan, mewujudkan kontraksi  ganas yang dikenali sebagai kelaparan yang menyakitkan. Dalam situasi sebegini, ya kita syorkan untuk makan malam. Adalah baik untuk makan makanan beralkali sejuk seperti
     *susu sejuk
     *pisang atau epal
     *biskut tawar atau bijirin.
Makanan yang panas, pedas, kopi, bergoreng dan makanan berat harus dielakkan.

Namun begitu, bagi mendapatkan penyelesaian kepada masalah ini, pesakit harus berjumpa dengan doktor yang akan mengdiagnosnya dengan ulser gastroduodenum dan memberikan rawatan yang sewajarnya.

#makan sebelum lapar, #berhenti sebelum kenyang



"Peperangan yang paling besar ialah peperangan dalam diri. Perang melawan nafsu"

1 Sept 2013

Mencari Positif Bagi Sesuatu Yang Negatif

Assalamualaikum..

Sesungguhnya kita patut bersyukur..

  • Untuk suami/isteri yang tidur berdengkur di waktu malam, kerana dia tidur di sisi kita bukan dengan orang lain.
  • Untuk anak/adik perempuan kita yang mengomel apabila mencuci pinggan, kerana itu bermakna dia berada di rumah, bukan di jalanan berpeleseran.
  • Untuk cukai pendapatan yang kita kena bayar, kerana itu bermakna kita masih mempunyai pekerjaan.
  • Untuk pakaian yang sudah tidak muat, kerana itu bermakna kita cukup makan.
  • Untuk lantai yang perlu dimop, tingkap yang perlu di lap dan rumah yang perlu dikemas, kerana itu bermakna kita mempunya tempat tinggal.
  • Untuk bunyi bising jiran-jiran kerana itu bermakna kita masih lagi boleh mendengar.
  • Untuk timbunan pakaian yang perlu dicuci atau digosok kerana itu bermakna kita ada pakaian untuk dipakai.
  • Untuk keletihan atau kesakitan otot selepas seharian bekerja, kerana itu bermakna kita masih berupaya untuk kerja kuat.
  • Untuk tempat letak kereta yang jauh dari lif, kerana itu bermakna kita masih berupaya untuk berjalan.
  • Untuk jam loceng yang berdering pada waktu pagi, kerana itu bermakna kita masih hidup untuk meneruskan hari tersebut..


Oleh itu jika kita tidak dapat apa yang kita suka, belajarlah menyukai apa yang kita dapat dan bersyukurlah dengan apa yang kita ada.. 


"It is the mind that maketh good or ill, that maketh wretch or happy, rich or poor."
-Edmund Spenser

29 Jul 2013

Panduan Penyusuan Bayi Ketika Ramadhan

Assalamualaikum..

Berpuasa ketika Ramadhan wajib bagi semua warga Muslim. Namu, tatkala Ramadhan menjelang tiba sudah pasti ibu yang menyusukan anak kecil akan terdetik kebimbangan di hati. Bukan tidak mampu untuk menunaikan ibadah yang tercatat dalam Rukun Islam tetapi kegusaran mengenangkan cara menyusukan bayi sedangkan terikat dengan ibadah puasa.

Tips berikut mungkin boleh diamalkan oleh ibu-ibu yang menyusukan anak.

Tips Penyusuan Bayi Ketika Ramadhan :

Jangan Abaikan Bersahur
~Sahur yang sempurna membekalkan nutrien dan tenaga yang secukupnya untuk kita bergerak aktif sepanjang hari. Ia merupakan pemakanan yang utama semasa Ramadhan. Amalkan pengambilan air kosong, susu dan jus. Kurangkan pengambilan minuman berkafein dan minuman berkarbonat kerana akan menybabkan rasa dahaga pada siang hari. Dalam pada itu, ia juga dapat membantu mengelakkan dehidrasi dan mengurangkan rasa lapar.

Pemakanan Seimbang.
~Bagi ibu-ibu yang menyusukan disarankan mengambil bijirin, karbohidrat yang mencukupi dan makanan berserat seperti oat, buah-buahan kering, soya, roti gandum penuh, jagung, sayur-sayuran hijau dan bubur nasi untuk mengekalkan rasa kenyang yang lebih lama. Jangan lupa makan buah kurma sebagai sumber gula yang baik. Selain daripada itu, pengambilan gula, garam dan lemak juga perlu dikurangkan.

Rehat Secukupnya
~Dari segi psikologi, kepercayaan bahawa susu ibu masih terhasil semasa berpuasa harus kekal. Kepercayaan ini akan mempengaruhi penghasilan susu ibu. Penghasilan susu ubu tidak akan terjejas selagi anak masih menyusu. Kadang-kadang tuntutan kerja menyebabkan stres tetapi ibu mestilah bertenang dan tangani masalah dengan bijak.

Berdoa, Membaca Al-Quran dan Ibadat Lain.
~Ketahuilah berpuasa adalah ibdat dan seperti disebut dalam surah al-Baqarah 185, yang bermaksud "Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan ia tidak menghendaki kamu menganggung kesukaran."

Ramadhan ialah bonus kepada ibu yang menyusu dan seharusnya sentiasa berdoa semoga diberikan kesihatan yang baik dan mendapat keberkatan-Nya. Sesungguhnya Ramadhan akan menjadi lebih bermakna jika si ibu tidak mengambil mudah tentang puasa dan meneruskan penyusuan bayi. Seboleh mungkin cuba elakkan berbuka puasa jika tiada sebarang masalah ketika menyusukan bayi.

Jangan jadikan Ramadhan sebagai satu alasan untuk memberhentikan penyusuan ibu, mahupun berbuka puasa sewenang-wenangnya untuk menyusukan bayi tanpa ada sebab yang munasabah. Perkara yang utama ialah kesedaran tentang gaya pendidikan pemakanan sihat harus disemai dalam diri para ibu yang menyusukan bayi agar dapat menjalani bulan puasa dengan sihat dan cergas tanpa sebarang masalah.

Atasi Masalah Bibir Kering & Pecah

Assalamualaikum..

Bibir merupakan sebahagian daripada keindahan wajah yang mengulit perhatian. Bibir yang menarik dan sihat akan menjadi cermin kepada kecantikan anda. Namun, kita perlu tahu bahawa kesihatan bibir juga haruslah selalu dijaga. Pernahkah anda mengalami bibir kering atau pecah lebih-lebih lagi ketika bulan puasa ini? Bibir yang kering kelihatan pecah dan mengelupas biasanya dikaitkan dengan keadaan cuaca panas ataupun udara kering, contohnya berada dalam bilik berhawa dingin atau kawasan sejuk dalam jangka masa yang lama.

Bibir yang pecah biasanya akan mudah terluka dan menybabkan rasa sakit. Apabila keadaan ini tidak boleh dirawat, boleh menyebabkan jangkitan bibir. Bibir kering, pecah dan mengelupas biasanya dikaitkan dengan kekurangan air. Namun tahukah anda bahawa air tidak semestinya penyebab bibir kering, pecah dan mengelupas?

FAKTOR PENYEBAB:

  • Pencemaran udara dan debu.
  • Makanan yang terlalu masam datau masin.
  • Kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Menggunakan kosmetik yang bahan kimianya terlalu kuat atau disebabkan oleh alergi terhadap kosmetik tertentu.
  • Menggunakan ubat giri yang mengandungi detergent berlebihan.
  • Tabiat suka menjilat bibir.


LANGKAH PENCEGAHAN:

1. Madu.
~Madu dikenali sebagai pelembab alami yang sangat baik.Madu membantu pengelupasan kulit dan merangsang sel kulit baru yang membuat kulit lebih sihat.

2. Mentimun.
~Mentimun dapat melembabkan bibir. Hancurkan atau kisarkan mentimun kemudian sapukan pada bibir. Bibir akan mudah menyerap jus mentimun yang melembabkan dan menenangkan kulit.

3. Minyak Zaitun.
~Minyak zaitun juga bermanfaat untuk mengatasi kulit kering dan pecah. Campurkan satu sudu teh minyak zaitun dan sedikit gula pasir. Sapukan campuran tersebut pada bibir dan biarkan selama 15 minit. Kemudian bilas dengan air suam. Selain melembutkan, bibir juga akan sihat menawan.

4. Air Kosong.
~Minum air kosong lapan gelas sehari kerana kekurangan air boleh menyebabkan dehidrasi dan membuatkan bibir menjadi kering.

5. Pelembab Bibir.
~Sapu pelembab bibir pada waktu malam sebelum tidur supaya bibir akan terus kekal lembap walaupun anda sedang lena dibuai mimpi indah.

10 Jul 2013

Mengapa Doa Ditolak?

Assalamualaikum..

Terdapat banyak kisah dan dalil menceritakan halangan-halangan yang menyebabkan doa tidak diterima oleh Tuhan. Antaranya adalah berkenaan kisah Ibrahim bin Adham. Ketika Ibrahim bin Adham, seorang ahli sufi berada di tengah-tengah pasar Basrah, beliau dikerumuni oleh orang ramai. Antara mereka ada yang bertanya,

"Mengapa doa kami tidak dimakbulkan oleh Allah, sedangkan kami bermohon kepadaNya?"

Ibrahim menjawab, "Kerana hati mereka buta disebabkan sepuluh perkara."

  • Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak menunaikan suruhanNya.
  • Kamu menyangka kamu cinta kepada Rasulullah, tetapi kamu meninggalkan sunahnya.
  • Kamu membaca al-Quranm tetapi tidak beramal dengannya.
  • Kamu makan nikmat Allah, tetapi kamu tidak bersyukur kepadaNya.
  • Kamu berkata syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
  • Kamu berkata syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuknya.
  • Kamu berkata neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
  • Kamu berkata mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
  • Kamu bangun daripada tidur lalu kamu ceritakan semua keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban diri sendiri. 
  • Kamu kebumikan mayat-mayat kamu (sahabat-sahabatmu) tetapi tidak mengambil iktibar daripada mereka.

Doa juga tertolak apabila seseorang memutuskan persaudaraan dan sering berbuat dosa. Rasulullah berkata yang bermaksud, 
Tiada seorang Muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalam dirinya dosa ataupun memutuskan silaturahim, melainkan Allah memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara, samada dia itu dimakbulkan segera ataupun disimpan dan diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengan doa tadi." -direkodkan oleh Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya'la dengan sanad yang sahih. 

Rasulullah berkata yang bermaksud,
Tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak adalah pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan orang yang teraniaya." -Direkodkan oleh Ahmad, Tirmizi dan Ibnu Majah.

8 Jul 2013

Motivasi Pagi -Pemaaf

Assalamualaikum..

Maafkanlah kesalahan orang lain agar hati kita tenang..


Sesungguhnya.. Kemaafan itu dendam yang terindah..

7 Jul 2013

Motivasi Pagi -Bangkitlah Kembali

Assalamualaikum..


Jadikan kegagalan lalu itu sebagai pengajaran. 



Penanda arasnya bukan berapa kali kita jatuh tetapi seberapa pantas kita bangkit untuk menempuh cabaran mendatang.

2 Jul 2013

Kebaikan Susu Ibu

Assalamualaikum..


  • Susu ibu mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul.
  • Sebaik selepas melahirkan, sus pertama kental berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiatnya amat tinggi. Kandungan proteinnya tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih.
  • Kolostrum mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit-birit, selsema dan radang paru-paru. Malah ia bertindak sebagai imunisasi pertama untuk bayi.
  • Susu ibu mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar. Komposisi zat dan vitaminnya sesuai dan mencukupi untuk bayi. Ia mengandungi enzim lipase yang menghadamkan lemak.
  • Selain itu, ia juga bersih dan bebas bakteria serta mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Antaranya sel arah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria.
  • Susuibu tersedia bila-bila masa dan sentiasa steril, susu ibu tidak pernah rosak dan sentiasa segar. 
  • Ia juga dikatakan mampu meningkatkan kecerdasan otak bayi.
  • Mengeratkan hubungan antara ibu dan anak.

30 Jun 2013

Tips Atasi Sakit Mata


Assalamualaikum..

Mata merah, bengkak, gatal dan ada ketikanya mengeluarkan selaput mata. Berhati-hatilah jika anda mengalami penyakit mata kerana ia mudah menular kepada mereka yang berada di sekeliling anda. Penularan ini adalah melalui benda-benda yang dipakai atau bersentuhan dengan mata seperti sapu tangan, tuala, cermin mata atau tangan anda sendiri. Jadi tidak hairanlah jikalau anda terkena penyakit mata, keluarga anda adalah antara yang terawak sekali dijangkiti.



Ketika sedang sakit mata, biasa nya anda akan berasa seolah-olah ada benda asing yang masuk ke dalam mata, lalu tangan mulalah menyapu mata. Lama kelamaan, tangan mula menggosok mata hingga timbul rasa gatal-gatal dan mata memerah. Seterusnya mata mulai membengkak dan akhirnya selaput mata mula keluar. Mata juga terasa seperti berat dan sensitif terhadap cahaya. Sakit mata atau konjungtivitis ini boleh disebabkan oleh virus, bakteria atau alahan terhadap sesuatu seperti debu, asap atau bahan kimia, Sekiranya anda mengalami tanda-tanda penyakit mata seperti ini cuba ikuti beberapa panduan di bawah :

  • Tekap mata anda dengan menutup kelopak mata dan gunakan tuala yang direndam dengan air suam. Tekapkan antara 5-10 minit dan ukangi sehingga bengkak surut. 
  • Gunakan antibiotik yang disarankan oleh doktor anda selama dua hari atau sehingga gejalanya mereda.
  • Elakkan menggunakan pelbagai ubat titis mata selain yang disarankan oleh doktor. Elakkan juga dari menggunakan kosmetik seperti pensel mata, pembayang mata atau maskara.
  • Elakkan menggunakan kanta lekap selama dua hari setelah ubat mata digunakan.
  • Pastikan orang lain terutama ahki keluarga tidak menggunakan barang yang sama yang telah anda gunakan seperti baju, tuala, sarung bantal, cermin mata dan sebagainya.
  • Jauhi dari aktiviti renang ketika sedang sakit mata agar bakteria yang terdapat pada air tidak memudaratkan lagi sakit mata anda.
  • Elakkan bersentuhan dengan orang lain seperti bersalam dan sebagainya ketika anda sedang sakit.
  • Jauhi daripada menggunakan ubat mata orang lain yang diberi oleh doktor. Jumpa doktor atau pergi ke farmasi untuk mendapatkan ubat khas untuk diri sendiri.
Jom amalkam hidup sihat. Mata adalah anugerah, jom kita jaga sebaiknya..

25 Jun 2013

Jerebu Mengancam Kesihatan Tubuh Kita

Assalamualaikum..

source image -mstar.com.my

Keadaan jerebu yang kian berterusan akan mendatangkan kesan yang buruk kepada semua terutama golongan yang berisiko tinggi iaitu :
    *Kanak-kanak
    *Orang tua
    *Mereka yang mengalami penyakit
           -asma
           -bronkitis
           -radang paru-paru
           -penyakit paru-paru yang kronik
           -jantung
           -alahan
    *Perokok
    *Mereka yang sentiasa bekerja di luar premis atau rumah.

Apakah Tanda dan Gejala Kesan Jerebu Kepada Kesihatan
Kesan-kesan yang akan dialami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah :
         # Terasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk
         # Terasa sukar untuk bernafas atau sesak nafas
         # Mata terasa pdih dan berair
         # Hidung berair dan kerap bersin
         # Kulit badan terasa gatal-gatal
         # Terasa sakit dada

Dapatkan rawatan dan nasihat doktor di klinik berhampiran sekiranya mempunyai tanda-tanda dan gejala tersebut.

~mengharapkan keadaan berjerebu ini hanya seketika dan cepat-cepat kembali pulih seperti biasa.

SOURCE

17 Jun 2013

Khasiat Vitamin B Yang Pelbagai

Assalamualaikum..


Vitamin B1 (tiamin)
Vitamin ini penting untuk kesihatan otak dan sel saraf. Boleh didapati pada biji-bijian dan makanan yang telah diperkaya seperti roti, nasi, pasta dan bijirin sarapan.

Vitamin B5 (asid pantotenat)
Merupakan bentuk koenzim yang dapat membantu menghantar rangsangan saraf. Sumber B5 ada pada daging, ikan, bijirin sarapan, legum, susu, sayur dan buah-buahan.

Vitamin B6 (piridoksin)
Membantu mengubah triptophan menjadi serotonin, zat kimia otak yang boleh menimbulkan rasa tenang bagi tubuh badan. Rendahnya kadar serotonin umumnya akan membuatkan orang cepat stress sukar untuk tidur dan depresi. Sumber vitamin B6 boleh didapati pada daging ayam, ikan, hati, bijirin sarapan, kekacang dan legum.

Vitamin B12 (sianokobalamin)
Vitamin ini membantu mempertahankan jaringan saraf agar tetap sihat. Sumber vitamin B12 ada pada telur, daging, ikan, susu serta produk olahannya.

Asid Folik
Sangat penting untuk metabolisme asid lemak rantai panjang pada otak. Boleh didapati pada pisang, jus limau, bijirin yang telah difortifikasi, lemon, strawberi, sayuran dan kekacang yang telah dikeringkan. Asid folik sangat penting bagi wanita yang merancang kehamilan. Kekurangan asid folik akan meningkatkan risiko terjadinya kelainan saraf tulang belakang (neural tube defect) pada janin.

13 Jun 2013

Petua Mengatasi Kesukaran Tidur

Assalamualaikum..

Gejala kurang tidur beberapa ketika lazimnya tidak mendatangkan mudarat, tetapi jika ia dibiarkan berterusan gejala insomnia ini boleh merosakkan badan. Kerana terlalu bimbang anda tidak mendapatkan cukup tidur, akhirnya anda tidak boleh melelapkan mata langsung. Hakikatnya kebanyakan pesakit insomnia tidur lebih daripada yang mereka sangka. Waktu tidur mereka hanya kurang 50-90 minit daripada orang lain yang tidur nyenyak.


Bagi yang mengalami masalah ini, cuba ikuti beberapa petua di bawah. Ia mungkin boleh membantu anda mengatasi kesukaran memelapkan mata.

Elak Menggunakan Pil Tidur
Ini kerana ia tidak menggalakan anda tidur secara asli, malah boleh menimbulkan kesan sampingan seperti mengantuk dan ketagih. Penggunaan herba dan minyak pati aroma yang disapu atau digunakan sebagai mandian juga boleh membantu. Malah penggunaan tersebut didapati lebih selamat berbanding menggunakan pil.

Lewatkan Waktu Tidur
Jika anda hanya boleh tidur pada jam tiga pagi, cuba berjaga sepanjang malam. Kemudian, anda cuba tidur jam enam pagi keesokan harinya. Hari berikutnya cuba tidur jam sembilan pagi kemudian 12 tengahari, tiga petang, enam petang, sembilan malam dan akhirnya cuba tidur pukul 11 malam. Apabila ia menjadi kebiasaan, mata anda akan berasa mengantuk setiap jam 11 malam. Pastikan persekitaran tidur anda juga selesa dan gelap untuk membantu memudahkan anda tidur.

Jadual Tidur Yang Tetap
Bentuk jadual tidur anda secara tetap. Ini kerana tidur yang tidak menentu akan membuatkan badan anda terbiasa berjaga. Akhirnya gejala insomnia anda juga masih tidak dapat diatasi.


Tidur yang berkualiti sangat penting tau...