Assalamualaikum..
Mata merah, bengkak, gatal dan ada ketikanya mengeluarkan selaput mata. Berhati-hatilah jika anda mengalami penyakit mata kerana ia mudah menular kepada mereka yang berada di sekeliling anda. Penularan ini adalah melalui benda-benda yang dipakai atau bersentuhan dengan mata seperti sapu tangan, tuala, cermin mata atau tangan anda sendiri. Jadi tidak hairanlah jikalau anda terkena penyakit mata, keluarga anda adalah antara yang terawak sekali dijangkiti.
Ketika sedang sakit mata, biasa nya anda akan berasa seolah-olah ada benda asing yang masuk ke dalam mata, lalu tangan mulalah menyapu mata. Lama kelamaan, tangan mula menggosok mata hingga timbul rasa gatal-gatal dan mata memerah. Seterusnya mata mulai membengkak dan akhirnya selaput mata mula keluar. Mata juga terasa seperti berat dan sensitif terhadap cahaya. Sakit mata atau konjungtivitis ini boleh disebabkan oleh virus, bakteria atau alahan terhadap sesuatu seperti debu, asap atau bahan kimia, Sekiranya anda mengalami tanda-tanda penyakit mata seperti ini cuba ikuti beberapa panduan di bawah :
- Tekap mata anda dengan menutup kelopak mata dan gunakan tuala yang direndam dengan air suam. Tekapkan antara 5-10 minit dan ukangi sehingga bengkak surut.
- Gunakan antibiotik yang disarankan oleh doktor anda selama dua hari atau sehingga gejalanya mereda.
- Elakkan menggunakan pelbagai ubat titis mata selain yang disarankan oleh doktor. Elakkan juga dari menggunakan kosmetik seperti pensel mata, pembayang mata atau maskara.
- Elakkan menggunakan kanta lekap selama dua hari setelah ubat mata digunakan.
- Pastikan orang lain terutama ahki keluarga tidak menggunakan barang yang sama yang telah anda gunakan seperti baju, tuala, sarung bantal, cermin mata dan sebagainya.
- Jauhi dari aktiviti renang ketika sedang sakit mata agar bakteria yang terdapat pada air tidak memudaratkan lagi sakit mata anda.
- Elakkan bersentuhan dengan orang lain seperti bersalam dan sebagainya ketika anda sedang sakit.
- Jauhi daripada menggunakan ubat mata orang lain yang diberi oleh doktor. Jumpa doktor atau pergi ke farmasi untuk mendapatkan ubat khas untuk diri sendiri.
Jom amalkam hidup sihat. Mata adalah anugerah, jom kita jaga sebaiknya..
